UMAT MANUSIA (#12180)

Ya Engkau Tuhan yang Pengasih, Engkaulah Yang dermawan dan kaya! Kami adalah hamba-Mu yang berlindung di bawah naungan-Mu. Arahkanlah pandangan kurnia-Mu kepada kami. Berikan cahaya kepada mata kami, pendengaran kepada telinga kami, dan pemahaman dan cinta kepada hati kami. Biarlah roh kami riang dan gembira melalui khabar gembira-Mu. Ya Tuhan! Tunjukkanlah kepada kami jalan ke kerajaan-Mu dan hidupkanlah kami semula melalui nafas Roh Suci. Kurniailah kami kehidupan abadi dan berikanlah kepada kami kehormatan yang tak terhingga. Satukanlah umat manusia dan terangilah dunia kemanusiaan. Semoga kami semua mengikuti jalan-Mu, mengingini keredaan-Mu dan mencari misteri-misteri kerajaan-Mu. Ya Tuhan! Satukanlah kami dan hubungkanlah kalbu kami dengan ikatan-Mu yang teguh. Sesungguhnya, Engkau adalah Pemberi, Engkau adalah Yang Baik Hati dan Engkau adalah Yang Maha Kuat.

-`Abdu'l-Bahá
-----------------------

UMAT MANUSIA (#12181)

Ya Engkau Tuhan yang baik hati! Engkau telah menciptakan semua manusia daripada baka yang sama. Engkau telah mentakdirkan bahawa semuanya sekeluarga. Dalam Hadirat Suci-Mu  mereka semua adalah hamba-Mu, dan semua manusia dilindungi di bawah Khemah-Mu; semua telah berkumpul di sekeliling Meja Kemurahan-Mu; semua diterangi melalui cahaya Kurnia-Mu.

Ya Tuhan! Engkau adalah baik hati kepada semua, Engkau telah membekali semua, telah melindungi semua, memberikan kehidupan kepada semua. Engkau telah mengurniakan setiap dan semua dengan bakat dan kebolehan, dan semua telah diselamkan dalam Samudera Belas Kasihan-Mu.

Ya Engkau Tuhan baik hati! Persatukanlah semua. Biarlah agama-agama bersetuju dan jadikanlah negara-negara satu, agar mereka dapat melihat diri mereka sebagai satu keluarga dan seluruh bumi sebagai satu kediaman. Semoga mereka semua dapat hidup bersama dalam keharmonian yang sempurna.

Ya Tuhan! Kibarkan tinggi panji-panji kesatuan umat manusia.
Ya Tuhan! Dirikanlah Keamanan Yang Maha Agung.

Eratkanlah Engkau, Ya Tuhan, kalbu-kalbu bersama.

Ya Engkau Bapa yang Baik Hati, Tuhan! Riangkanlah hati kami melalui keharuman cinta-Mu. Terangilah mata kami melalui Cahaya Bimbingan-Mu. Hiburkanlah telinga kami dengan  mendengar melodi Kalimat-Mu, dan lindungilah kami semua dalam Kubu Perlindungan-Mu.

Engkau adalah Kuat dan Berkuasa, Engkau adalah Pemaaf dan Engkau Adalah Dia Yang tidak melihat kekurangan semua manusia.

-`Abdu'l-Bahá
-----------------------

UMAT MANUSIA (#12182)

Ya Tuhan, Ya Engkau Yang telah memancarkan sinaran-Mu ke atas realiti manusia yang terang benderang, menyinari mereka cahaya pengetahuan dan bimbingan yang gemilang,  dan telah memilih mereka daripada segala benda tercipta bagi kurnia yang tertinggi ini, dan telah menyebabkan mereka untuk menjangkaui segala benda, untuk memahami inti mereka yang terdalam, dan untuk membongkarkan misteri-misteri mereka, lalu membawa mereka keluar daripada kegelapan ke arah dunia yang nyata! “Dia sesungguhnya menunjukkan belas kasihan-Nya yang istimewa kepada sesiapa yang Dia kehendaki.”

Ya Tuhan, bantulah Engkau mereka yang dikasihi-Mu untuk memperoleh pengetahuan dan ilmu sains dan kesenian, dan untuk membongkarkan rahsia-rahsia yang tersembunyi di dalam realiti yang terdalam semua ciptaan. Sebabkanlah mereka mendengar kebenaran tersembunyi yang telah ditulis dan dibenamkan dalam pusat segala benda. Jadikanlah mereka tanda-tanda bimbingan dalam kalangan semua ciptaan, dan sinaran terang minda yang memancarkan cahayanya dalam ini, yakni “kehidupan pertama.” Jadikanlah mereka pemimpin yang memimpin kepada Engkau, pembimbing dalam jalan-Mu, pengutus yang menyegerakan manusia ke arah Kerajaan-Mu.

Engkau sesungguhnya adalah Berkuasa, Pelindung, Kuat, Pembela, Perkasa, Yang Maha Dermawan.

-`Abdu'l-Bahá
-----------------------

